BUKIT MERTAJAM, 14 September - Proses naik taraf Hospital Bukit Mertajam, Pulau Pinang kini berada dalam fasa rekabentuk.
Ini bakal meningkatkan kapasiti katil pesakit sedia ada di hospital berkenaan.
Menteri Sumber Manusia, Steven Sim berkata ketika ini fasiliti kesihatan itu hanya mampu menampung 242 buah katil.
"Naik taraf ini sekurang-kurangnya dapat menggandakan jumlah katil pesakit.
"Inisiatif ini memberikan perkhidmatan yang lebih selesa dan lebih baik kepada penduduk di Bukit Mertajam dan kawasan sekitar," katanya selepas merasmikan prasarana mesra Orang Kurang Upaya (OKU) dan komuniti di hospital berkenaan.
Pada masa sama, ia juga menawarkan suasana kerja yang selesa untuk petugas kesihatan.
Satu pertemuan bersama Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad akan dijalankan minggu depan bagi memperincikan perkara berkenaan.
Naik taraf akan dilaksanakan di atas tanah kerajaan negeri seluas 8 ekar di rumah rehat bertentangan hospital tersebut.
Turut hadir pada program sama, Pengarah Hospital Bukit Mertajam Dr. S. Prashant.