fb fb fb fb fb

HFMD: 180 premis Kemas ditutup

KUANTAN, 28 Mei - Sebanyak 180 premis pendidikan awal dan pusat jagaan kanak-kanak kendalian Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) ditutup akibat jangkitan penyakit tangan, kaki dan mulut (HFMD) setakat semalam.

Menteri Pembangunan Luar Bandar Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, daripada jumlah itu, 105 premis ialah Taman Bimbingan Kanak-Kanak (Tabika) manakala bakinya ialah Taman Asuhan Kanak-Kanak (Taska) yang terletak di seluruh negara kecuali Negeri Sembilan dan Melaka.

"Jika terdapat mana-mana TABIKA atau TASKA yang terbabit, kita akan arahkan supaya ditutup serta-merta dan sekurang-kurangnya 10 hari berdasarkan saranan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

"Dalam tempoh itu, kerja disinfeksi akan dilakukan pihak Kemas," katanya pada sidang media selepas menghadiri Majlis Ramah Mesra dan Sambutan Aidilfitri bersama Warga Kemas Pahang di sini hari ini. 

Mahdzir berkata sepanjang tempoh penutupan itu, sesi Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) akan dilaksanakan, berdasarkan pengalaman yang dilaksanakan semasa pandemik COVID-19 melanda negara. 

Beliau juga memberi jaminan bahawa Kemas sentiasa memantau perkembangan dan mengambil langkah proaktif untuk menangani penularan jangkitan penyakit itu di premis mereka berdasarkan prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan KKM. 

Antara yang dilakukan ialah membuat saringan awal terhadap kanak-kanak yang dihantar setiap hari termasuk mengambil suhu badan dan membuat pemeriksaan terhadap simptom jangkitan seperti tanda ulser pada mulut dan lidah atau ruam di tangan dan kaki. 

“Kita nasihatkan kepada ibu bapa supaya memantau kesihatan anak-anak.

"Sekiranya ada gejala seperti demam tanda-tanda ulser pada mulut dan lidah, ruam dan lepuh pada tangan, kaki dan kawasan lampin tidak perlulah hantar anak ke TABIKA atau TASKA,” katanya.  

KEMAS mempunyai 10,765 buah TABIKA dan 549 buah TASKA di seluruh negara.

Media Baharu