fb fb fb fb fb

Henti gejala buli di sekolah, wujud persekitaran harmoni

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim bergambar bersama pelajar yang menerima sumbangan bantuan persekolahan pada Majlis Santuni Kasih bersama Pelajar-pelajar Parlimen Tambun/ BERNAMA

IPOH, 25 April- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mahu gejala buli di sekolah ditangani dengan segera selain memastikan semua pelajar mematuhi disiplin dan peraturan sekolah masing-masing.

Jelasnya mutu pendidikan negara berpotensi mencapai perkembangan maksimum sekiranya perkara itu dapat diatasi sekali gus menjamin masa depan negara lebih baik.

"Masih ada laporan-laporan dari masa ke masa berhubung tingkah laku dan amalan buruk dalam kalangan anak-anak contohnya buli, menghina, mencaci satu sama lain.

"Menghina kerana warna kulit atau kaum, ini bukan cara orang yang belajar. Kita nilai orang pada perangai dan budi pekertinya bukan lawan orang-orang yang pandangannya sempit dan bodoh," tegasnya.

Beliau berkata demikian dalam ucaptama pada Majlis Santuni Kasih bersama Pelajar-pelajar Parlimen Tambun di Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan Cina Poi Lam, di sini petang tadi.

Dalam pada itu, Perdana Menteri turut mengingatkan semua pelajar untuk menguasai Bahasa Inggeris dan Mandarin susulan perkembangan ekonomi negara China.

Selain itu para pelajar turut diingatkan tentang kepentingan menguasai kemahiran teknologi digital dan kecerdasan buatan (AI) bagi mendepani cabaran masa depan.

Sementara itu Perdana Menteri turut memaklumkan bahawa kira-kira 12,000 tandas sekolah seluruh negara telah dibaiki melibatkan peruntukkan lebih RM1 bilion.

Beliau berkata, perkara tersebut merupakan keutamaan kerajaan dalam memastikan keselesaan kepada pelajar di sekolah.

Perkara itu susulan beliau menerima maklum balas secara terus daripada pelajar mengenai keadaan tandas sekolah setiap kali lawatan ke institusi berkenaan.

Mengambil kira maklum balas tersebut, beliau kemudian memajukan perkara itu kepada Kementerian Pendidikan (KPM) untuk tindakan susulan.

"Anak-anak tahu sebab apa saya memberi penekanan dalam hal ini, kerana kita mahu anak-anak ini berdisipli dan melatih kebersihan. Jadi tandas sekolah rosak atau kotor perlu dibaiki.

"Jadi institusi pendidikan tidak hanya menerapkan ilmu. Ia termasuk pengajaran tentang disiplin dan nilai kebersihan khususnya dalam kalangan pelajar," katanya lagi.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI