fb fb fb fb fb

Hazani dilantik KP Agensi Pintu Masuk dan Sempadan Malaysia

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution menyampaikan surat pelantikan Ketua Pengarah Agensi Pintu Masuk dan Sempadan Malaysia (MCBA) kepada Datuk Seri Hazani di Putrajaya / BERNAMA

PUTRAJAYA, 31 Januari- Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam Bukit Aman Datuk Seri Hazani Ghazali dilantik Ketua Pengarah Agensi Pintu Masuk dan Sempadan Malaysia (MCBA) yang pertama, berkuat kuasa hari ini.

Perkara itu diumumkan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail dalam sidang media khas di sini hari ini.

Jelasnya, Hazani merupakan individu berpengalaman dan mempunyai legasi dalam penubuhan Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM) Lahad Datu yang mengawal keselamatan di Timur Sabah.

“Pelantikan beliau adalah berdasarkan kelayakan dan pengalaman yang luas selama 37 tahun dalam bidang keselamatan dan ketenteraman negara serta penguatkuasaan dan kawalan undang-undang.

“Kita perlukan individu yang mempunyai commanding skill dan tugas utama beliau kini adalah menyegerakan pembikinan rang undang-undang ke arah menjelmakan entiti MCBA ini,” katanya.

Saifuddin Nasution berkata Rang Undang-Undang MCBA akan dibentangkan pada sesi Parlimen pada Mac ini.

MCBA merupakan agensi barisan hadapan di pintu masuk negara termasuk pelabuhan yang bertanggungjawab menyediakan perkhidmatan kawalan sempadan serta pemeriksaan secara bersepadu dan komprehensif.

Pada Belanjawan 2024 lepas, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan penubuhan sebuah agensi tunggal sempadan negara (SBA) sebagai sebahagian daripada inisiatif memperkukuh tahap kesiapsiagaan pertahanan dan keselamatan negara.

Inisiatif SBA dirancang sejak 2018 bagi menyatukan lebih 20 agensi penguat kuasa di 141 pintu masuk, antaranya Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS) serta Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM).

ZEHRA BINTI ZAMBRI