fb fb fb fb fb

Hasrat hantar keluarga beraya di kampung halaman tidak kesampaian

GUA MUSANG, 1 Mei- Hasrat seorang anggota polis trafik menghantar isteri, tiga anak dan dua adik iparnya beraya di kampung halaman tidak kesampaian apabila kenderaan dipandunya terbabas ke dalam sungai di Kilometer 15, Jalan Gua Musang-Kuala Krai di Gua Musang, Kelantan.

Dalam kejadian pukul 4.50 pagi itu, mangsa, Koperal Ahmad Ibrahim, dari Balai Polis Trafik Klang Selatan, Klang, Selangor meninggal dunia di tempat kejadian.

Ketua Polis Daerah Gua Musang, Superintendan Sik Choon Foo berkata, siasatan awal mendapati, kemalangan berlaku dipercayai SUV jenis Perodua Aruz yang dipandu mangsa hilang kawalan dan masuk ke laluan bertentangan sebelum terbabas ke dalam sungai.

Katanya, insiden itu menyebabkan Ahmad meninggal dunia di lokasi kejadian.

Mayat mangsa telah dibawa ke Hospital Gua Musang untuk dibedah siasat.


(Keadaan kereta mangsa kemalangan maut  di Kilometer 15, Jalan Gua Musang-Kuala Krai di Gua Musang, Kelantan)

Isteri mangsa, Nurulasma Zakaria, 31 tahun bersama tiga anak berusia lapan bulan hingga empat tahun dan dua adik ipar mangsa pula mengalami kecederaan dalam kemalangan itu.

Kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Media Baharu