SEREMBAN, 1 Mei- Kelonggaran prosedur operasi standard (SOP) termasuk arahan tidak mewajibkan pemakaian pelitup muka di luar bangunan dan tempat terbuka mula dilaksana hari ini.
Tinjauan di Seremban, Negeri Sembilan mendapati orang ramai masih lagi memutuskan untuk memakai pelitup muka walaupun di kawasan terbuka.
Salah seorang orang ramai yang ditemui, Shamsulaini Ibrahim berkata dia lebih memilih untuk memakai pelitup muka demi menjaga kesihatan diri.
"Memang dah biasa pakai, tak pakai tu rasa lain macam sikit dan rasa takut tu ada lagi dan macam- macam la, takut disaman tu pun ada lagi sebab baru dikuat kuasakan. Selesa pakai untuk jaga kesihatan diri," katanya.
(Shamsulaini Ibrahim)
Nur Shazreena Harith pula berkata pengalamannya yang pernah dijangkiti COVID-19 membuatkannya lebih berhati-hati dan memilih untuk terus memakai pelitup muka.
'Saya memilih untuk pakai 'mask' ni walaupun di tempat terbuka sebab tempat ni ramai orang jadi saya pun ada penyakit dan saya memilih untuk lindung diri saya sendiri. Walau kita dah ke arah endemik tapi kita masih belum menang, itu yang saya pegang sebab saya sendiri pun dah pernah kena COVID-19 , 'stage' yang agak teruk jadi bila dah pernah kena, kita pilih untuk lindung diri, " kata Nur Shazreena.
(Nur Shazreena Harith)
Sebelum ini, Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin berkata, pemakaian pelitup muka di luar bangunan dan kawasan terbuka adalah atas pilihan tetapi amat digalakkan kerana pelitup muka mampu mengurangkan penularan jangkitan.
Namun, pemakaian pelitup muka adalah wajib apabila berada di dalam bangunan dan di dalam pengangkutan awam termasuk e-hailing.