fb fb fb fb fb

Hari Landskap 2025 : Platform kesedaran peranan landskap

Perasmian Hari Landskap 2025 Peringkat Negeri Pulau Pinang disempurnakan Yang Dipertua Negeri P. Pinang,Tun Ramli Ngah Talib/ Foto FB MBSP

KEPALA BATAS, 5 Oktober - Sambutan Hari Landskap 2025 Peringkat Negeri Pulau Pinang, tidak hanya sekadar sambutan tahunan semata-mata, sebaliknya platform efektif memupuk kesedaran berhubung peranan sebenar lanskap dalam kalangan masyarakat.

Datuk Bandar Seberang Perai, Datuk Baderul Amin Abdul Hamid berkata landskap bukan sekadar hiasan, tetapi merupakan nadi kehidupan yang melengkapkan ekosistem alam sekitar.

"Landskap ini memberi kita satu, dia bukan sahaja kepada mencantikkan bandar raya, mencantikkan kehidupan, tetapi dia juga meningkatkan kesedaran masyarakat tentang peranan landskap dan mengukuhkan industri landskap sebagai penyumbang ekonomi dan juga sosial.

"Kedua, menyokong aspirasi MADANI dalam melahirkan bandar bestari dan mengangkat identiti Pulau Pinang sebagai negeri yang maju, negeri yang bukan sahaja maju, tetapi juga mempunyai keindahan, terutama dari segi landskap untuk negeri Pulau Pinang", katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas menghadiri Majlis Perasmian Sambutan Hari Landskap 2025 Peringkat Negeri Pulau Pinang di Kepala Batas, Pulau Pinang.

Perasmian disempurnakan Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang,Tun Ramli Ngah Talib dan turut hadir Exco Perumahan dan Alam Sekitar Pulau Pinang, Datuk Seri S. Sundarajoo.

Sambutan dijalankan selama dua hari berakhir hari ini yang bertemakan "Industri Landskap Pemacu Pembangunan MADANI" dianjurkan Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP).

Antara aktiviti yang dijalankan sepanjang sambutan ialah simfoni cahaya, belon udara panas, jualan trak makanan serta demonstrasi bomba dan penyelamat.

ROSLINA BINTI DIN