fb fb fb fb fb

Harga runcit RON95 kekal, RON97 & diesel naik lima sen

Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR, 22 Januari- Harga runcit petrol RON95 kekal pada paras RM2.05 seliter manakala harga RON97 meningkat lima sen daripada RM3.38 seliter kepada RM3.43 seliter bagi tempoh 23 hingga 29 Januari.

Kementerian Kewangan (MOF) dalam satu kenyataan memaklumkan harga runcit diesel di Sabah, Sarawak dan Labuan kekal pada paras RM2.15 seliter manakala di Semenanjung Malaysia naik sebanyak lima sen daripada RM3.08 seliter kepada RM3.13 seliter bagi tempoh sama.

"Seiring dengan peningkatan harga pasaran minyak dunia, kerajaan menetapkan harga runcit petrol RON97 pada RM3.43 seliter manakala harga runcit diesel di Semenanjung Malaysia pada RM3.13 seliter.

"Harga runcit diesel di Semenanjung Malaysia masih kekal rendah berbanding harga diapungkan pada 10 Jun 2024, iaitu sebanyak RM3.35 seliter," menurut kenyataan itu.

Harga berkenaan ditetapkan berdasarkan harga runcit mingguan produk petroleum menggunakan formula Mekanisme Harga Automatik (APM).

Bagaimanapun kerajaan terus memantau perkembangan pasaran dan menyelaras harga runcit RON97 dan diesel dengan mengambil kira pergerakan harga pasaran minyak dan juga menyokong kestabilan harga.

"Kerajaan akan terus memantau kesan perubahan harga minyak mentah dunia serta mengambil langkah yang bersesuaian bagi memastikan kebajikan dan kesejahteraan rakyat terus terpelihara," tambah kenyataan itu.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI