fb fb fb fb fb

Harga RON95 turun kepada RM1.99 seliter- PM

FOTO HIASAN / BERNAMA

KUALA LUMPUR, 23 Julai – Rakyat Malaysia bakal menikmati harga petrol RON95 yang lebih rendah iaitu RM1.99 seliter, selaras dengan pendekatan subsidi bersasar yang dilaksanakan kerajaan.

Namun, untuk warganegara asing dan individu tidak layak, mereka perlu membayar mengikut harga pasaran atau harga tanpa subsidi sekali gus memastikan keadilan dalam agihan bantuan kerajaan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata perincian pelaksanaan subsidi bersasar petrol RON95 akan diumumkan selewat-lewatnya akhir September 2025.

“Apa yang pasti, sepertimana pendekatan penyasaran subsidi elektrik, kerajaan beri jaminan rakyat biasa tidak akan terjejas. Bahkan, sukacita saya umumkan harga petrol RON95 akan turun untuk rakyat,” katanya dalam pengumuman khas yang disiarkan hari ini.

Menurut Perdana Menteri, pendekatan bersasar itu akan memberi manfaat kepada kira-kira 18 juta pengguna, merangkumi pemandu kereta, penunggang motosikal, belia seawal usia 16 tahun serta pekerja gig.

“Pendekatan ini sejajar dengan ikhtiar kerajaan untuk mengoptimum sumber negara bagi manfaat rakyat dan mengurangkan pembaziran subsidi,” ujarnya lagi.

Bagi tahun 2023 dan 2024, kerajaan membelanjakan hampir RM20 bilion setahun bagi subsidi RON95. Walaupun harga minyak mentah dunia menurun, harga sebenar petrol RON95 tanpa subsidi masih sekitar RM2.50 seliter, jauh lebih tinggi berbanding harga yang dinikmati rakyat.

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE