HAPM catat sambutan luar biasa, rekod kehadiran lebih 10,000 orang

Foto BERNAMA

KUANTAN, 3 April– Himpunan Anak Pahang MADANI (HAPM) 2026 mencatatkan sambutan luar biasa apabila berjaya menarik kehadiran lebih 10,000 anak muda dari seluruh negeri, hari ini.

RINGKASAN BERITA AI
  • Program bertujuan memberi pendedahan dan manfaat langsung kepada golongan belia serta menggalakkan penyertaan dalam pertubuhan belia.
  • Inisiatif MADANI x Belia menawarkan geran sehingga RM100,000 kepada pertubuhan belia yang layak.
  • Rerurai agensi kerajaan dan pertubuhan belia menyediakan penerangan peluang kerjaya, pendidikan termasuk latihan di IKBN serta pembangunan diri.

Jumlah tersebut sekali gus melepasi sasaran awal penganjur iaitu seramai 7,000 orang.

Menteri Belia dan Sukan, Dr. Mohammed Taufiq Johari berkata penganjuran himpunan tersebut bukan sekadar pertemuan biasa, sebaliknya bertujuan memberi pendedahan serta manfaat secara langsung kepada golongan belia melalui pelbagai pengisian yang disediakan.

“Program ini bertujuan memberikan pendedahan kepada anak muda tentang kepentingan menyertai pertubuhan belia. Terdapat pelbagai inisiatif dan manfaat yang disediakan, antaranya inisiatif MADANI x Belia yang menawarkan geran sehingga RM100,000 kepada pertubuhan belia yang layak.”

“Kami menganggarkan sekitar 2,500 pertubuhan berpeluang menerima geran tersebut. Selain itu, pelbagai rerurai turut dibuka bagi memberi pendedahan mengenai peluang pendidikan, termasuk dalam bidang IKBN,” kata Dr. Mohammed Taufiq kepada pemberita, hari ini.

Beliau ditemui selepas majlis Himpunan Anak Pahang Madani (HAPM) 2026 di perkarangan UTC Kuantan, di sini.

Antara tarikan utama ialah pembukaan rerurai agensi kerajaan dan pertubuhan belia yang menawarkan penerangan berkaitan peluang kerjaya, pendidikan serta pembangunan diri.