Hannah Yeoh arah siasatan segera isu wang perlindungan

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Hannah Yeoh / BERNAMA

KUALA LUMPUR, 26 Mac – Kerajaan tidak akan berkompromi terhadap sebarang bentuk salah guna kuasa susulan video tular yang dipercayai berlaku di Wangsa Maju dan mencetuskan kebimbangan orang ramai.

RINGKASAN BERITA AI
  • Hannah Yeoh arah laporan polis dibuat serta siasatan segera dijalankan terhadap dakwaan yang diberi perhatian.
  • Tindakan tegas termasuk pemecatan akan dikenakan sekiranya dakwaan terhadap ahli MPP terbukti.
  • Jika terbukti, tindakan turut melibatkan mana-mana pegawai atau agensi di bawah seliaan JWP.
  • JWP dan SPRM kukuhkan kerjasama; orang ramai digalakkan membuat aduan melalui portal JWP, SPRM dan DBKL.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Hannah Yeoh berkata beliau telah mengarahkan laporan polis dibuat hari ini, selain siasatan dimulakan serta-merta bagi menyiasat dakwaan berkenaan.

Menurut beliau, tindakan tegas termasuk pemecatan akan dikenakan sekiranya dakwaan tersebut terbukti benar.

“Jika dakwaan ini terbukti benar, ahli MPP berkenaan akan dipecat serta-merta tanpa sebarang kompromi. Pendirian kita jelas, tiada toleransi terhadap sebarang bentuk wang perlindungan atau amalan orang tengah,” katanya menerusi hantaran di Facebooknya hari ini.

Tambahnya, tindakan bukan sahaja akan diambil terhadap ahli Majlis Perwakilan Penduduk (MPP), malah turut melibatkan mana-mana pegawai atau agensi di bawah seliaan JWP jika didapati terlibat.

“Kerjasama rapat antara JWP dan SPRM telah diperkukuh bagi memastikan setiap aduan disiasat secara telus dan tindakan tegas dapat diambil,” jelasnya.

Orang ramai boleh membuat aduan melalui portal rasmi JWP, SPRM dan DBKL bagi membantu siasatan serta membanteras salah guna kuasa.