MOGADISHU, 27 Februari-Hampir 4.4 juta orang di Somalia berisiko kebuluran menjelang Jun tahun ini disebabkan oleh kemarau, menurut laporan yang disokong Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) pada Rabu.
Menurut laporan dari Klasifikasi Fasa Keselamatan Makanan Bersepadu (IPC), sebuah badan penilaian yang disokong PBB, angka berkenaan menunjukkan peningkatan sebanyak satu juta orang.
"Kami memberi amaran mengenai keadaan keselamatan makanan yang semakin merosot di negara ini," kata jurucakap Setiausaha Agung PBB, Stephane Dujarric.
Faktor-faktor seperti hujan yang turun di bawah paras purata, harga makanan yang tinggi, konflik, dan ketidakjaminan makanan dijangka menyebabkan jumlah itu meningkat kepada 4.4 juta orang, yang mewakili 23 peratus daripada populasi negara itu, menurut laporan tersebut.
Jumlah ini dijangka dicapai antara April hingga Jun.
Negara yang terletak di Tanduk Afrika ini merupakan antara negara termiskin di dunia, telah mengalami puluhan tahun perang saudara, pemberontakan berdarah oleh kumpulan Al-Shabaab yang bersekutu dengan Al-Qaeda, serta bencana alam yang kerap berlaku.
Laporan IPC turut menganggarkan bahawa sekitar 1.7 juta kanak-kanak di bawah usia lima tahun akan mengalami kekurangan zat makanan akut pada tahun 2025, meningkat empat peratus sejak 2024, termasuk 466,000 kes kekurangan zat makanan akut yang teruk.
"Kemarau yang semakin buruk, hujan yang tidak menentu, dan konflik berterusan semakin merosakkan mata pencarian, mendorong keluarga ke dalam krisis yang lebih mendalam," kata Etienne Peterschmitt, wakil Pertubuhan Makanan dan Pertanian PBB (FAO) di Somalia.
Agensi PBB kini bertindak balas terhadap situasi berkenaan dengan meningkatkan sokongan terhadap pengeluaran pertanian, mempromosikan penyelesaian mesra iklim, serta memperkukuh sistem makanan yang lebih berdaya tahan, tambahnya.
Menurut PBB, hampir enam juta rakyat Somalia akan memerlukan bantuan kemanusiaan pada tahun 2025.
Namun, disebabkan kekurangan dana yang berterusan, rayuan yang dilancarkan pada akhir Januari memerlukan dana sebanyak AS$1.43 bilion untuk membantu hanya 4.6 juta daripada golongan yang paling terjejas.-AFP.