KUALA KANGSAR, 31 Mac - Sultan Perak Sultan Nazrin Muizzuddin Shah berkenan berangkat menunaikan solat sunat hari raya Aidilfitri bersama hampir 2,000 jemaah lain di Masjid Ubudiah, di sini, pagi tadi.
Berangkat sama ialah Raja Muda Perak Raja Jaafar Raja Muda Musa dan Raja Di Hilir Perak, Raja Iskandar Dzulkarnain Sultan Idris Shah.
Keberangkatan baginda disambut Menteri Besar Datuk Seri Saarani Mohamad bersama barisan Exco Kerajaan Negeri pada 8.30 pagi.
Sebaik selesai menunaikan solat sunat, baginda meluangkan masa bersalaman dan beramah mesra dengan jemaah yang hadir.
Baginda kemudian menziarahi pusara ayahanda baginda, Almarhum Sultan Azlan Muhibbuddin Shah di Makam Diraja masjid berkenaan sebelum berangkat pulang.
Di Terengganu, Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin bertitah agar semua rakyatnya mengekalkan nikmat keamanan hasil penyemaian adab dan tatasusila orang-orang terdahulu.
Baginda turut mengingatkan supaya sentiasa meraikan kepelbagaian kaum dengan mengekalkan toleransi dan saling menghormati antara satu sama lain.
Hampir 2,500 penduduk di sekitar bandar raya Kuala Terengganu menunaikan solat sunat Aidilfitri di Masjid Al-Muktafi Billah Shah, Ladang .
Sultan Mizan yang tiba pukul 8.25 pagi, turut disertai Sultanah Terengganu, Sultanah Nur Zahirah serta anakanda-anaknda baginda.
Turut mengiringi baginda Menteri Besar Datuk Sri Ir. Dr Ahmad Samsuri Mokhtar dan Setiausaha Kerajaan Negeri.
Baginda juga sempat meluangkan masa beramah mesra dengan rakyat jelata selepas selesai menunaikan solat sunat Aidilfitri.
Solat diimamkan Mufti Terengganu, Datuk Dr Mohamad Sabri Harun.
Sementara itu di Johor, Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail, dan Raja Muda, Tunku Iskandar berkenan menunaikan solat sunat Aidilfitri di Masjid Negeri Sultan Abu Bakar, Johor Bahru, bersama lebih 2,000 jemaah, pagi tadi.
Ketibaan baginda pada pukul 8.30 pagi itu diiringi adik-beradik Diraja, Tunku Temenggong Johor Tunku Idris Iskandar, Tunku Panglima Johor Tunku Abdul Rahman dan Tunku Putera Johor Tunku Abu Bakar.
Solat sunat Aidilfitri dipimpin Imam Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ), Makhadzir Abdan, yang turut menyampaikan khutbah bertajuk "Aidil-Fitri Hari Kemenangan."
Tunku Mahkota Ismail turut berkenan meluangkan masa bersalaman dengan para jemaah, sebelum berangkat meninggalkan masjid kira-kira pukul 9.10 pagi.