Guru nyaris maut, kereta rempuh tapir

Foto RTM

DUNGUN, 1 Februari – Seorang guru berdepan detik cemas apabila kereta dipandunya merempuh seekor tapir jantan seberat kira-kira 300 kilogram di Dungun, Terengganu, malam tadi.

RINGKASAN BERITA AI
  • Guru nyaris panik apabila kereta dipandunya merempuh seekor tapir jantan sekitar Kilometer 8, Jalan Bandar Al-Mukhtafi Bilah Shah.
  • Kereta mengalami kerosakan teruk di bahagian hadapan, tetapi mangsa dilaporkan selamat tanpa kecederaan.
  • Bangkai tapir diserahkan kepada Perhilitan; ini insiden kedua melibatkan tapir di daerah tersebut.

Kejadian berlaku kira-kira pukul 8.30 malam di Kilometer 8, Jalan Bandar Al-Mukhtafi Bilah Shah menuju Bandar Paka, berhampiran Kampung Santong.

Ketua Polis Daerah Dungun, Superintenden Maizura Abdul Kadir mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian itu.

“Mangsa berusia 49 tahun ketika itu dalam perjalanan pulang ke rumahnya di Bandar Kerteh, Kemaman.

“Sebaik tiba di lokasi, mangsa dipercayai tidak sempat mengelak tapir yang sedang melintas jalan menuju hutan berhampiran,” katanya.

Akibat rempuhan, tapir berkenaan tercampak beberapa meter manakala kereta mangsa mengalami kerosakan teruk di bahagian hadapan.

Menurut beliau, mangsa dilaporkan tidak mengalami sebarang kecederaan.

“Bangkai tapir diserahkan kepada Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) untuk tindakan lanjut,” katanya.

Kejadian itu merupakan insiden kedua melibatkan tapir di daerah ini, selepas seorang lelaki berusia 19 tahun maut selepas motosikal ditungganginya merempuh tapir di Lebuh raya Pantai Timur Dua (LPT2) minggu lalu.

Makan Sihat, Hidup Sihat: Bagaimana Ajinomoto (Malaysia) Berhad Membentuk Gaya Hidup Lebih Sihat di Malaysia

Artikel Tajaan