fb fb fb fb fb

Guna peruntukan tingkat perkhidmatan jalur lebar - Fahmi

Fahmi Fadzil

SUNGAI PUTAT, 27 Januari- Semua Ahli Parlimen disaran menggunakan peruntukan diterima daripada kerajaan untuk mempertingkat perkhidmatan jalur lebar di sekolah-sekolah di kawasan masing-masing kata Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil.

Keutamaan boleh diberikan kepada sekolah-sekolah memerlukan dan menepati kriteria ditetapkan. 

Kos bagi menaik taraf perkhidmatan jalur lebar berkenaan dianggarkan RM30,000 hingga RM50,000 bagi setiap sekolah bergantung kepada susun atur bangunan sekolah berkenaan. 

"Kita mulakan di Melaka, saya dah mulakan di kawasan saya. Tahun lalu saya belanja hampir RM1 juta melalui peruntukan untuk pastikan internet di sekolah-sekolah ditambah baik.

"Jadi insya-Allah kita akan minta ahli-ahli Parlimen untuk percaya serta dalam usaha kita membantu Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) memantapkan lagi pencapaian internet di sekolah-sekolah," katanya ketika ditemui pemberita dalam Program Jiwa Madani sempena Lawatan Menteri Komunikasi Ke Melaka di Kampung Sungai Putat di sini.

Fahmi berkata, beliau melalui Kementerian Komunikasi akan mengadakan perjumpaan bersama-sama semua Ahli Parlimen di seluruh negara untuk tujuan itu.

Dalam perkembangan lain, Fahmi yang juga jurucakap kepada Kerajaan Perpaduan setuju dengan cadangan Majlis Tertinggi (MT) UMNO untuk meminta kerajaan menubuhkan segera Suruhanjaya Ekonomi Gig Malaysia.

Perkara itu akan dibawa ke mesyuarat jemaah menteri minggu depan.

"Tetapi saya nampak keperluan dia lebih daripada itu, contohnya dari segi keselamatan sosial dan melalui Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) dan keperluan lain.

"Saya rasa ada kewajaran, saya boleh setuju dengan pandangan ini. Insya-Allah perkara ini akan dibincangkan dengan sahabat saya melibatkan beberapa ahli Parlimen atau beberapa menteri dan kementerian. Kita harap dalam mesyuarat jemaah menteri minggu depan kita akan bincangkan," katanya.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI