fb fb fb fb fb

Guna beg khas, sindiket curi pakaian berjenama tumpas

PETALING JAYA, 14 Oktober- Satu sindiket curi pakaian berjenama tumpas menerusi dua serbuan di hotel bajet pada 3 dan 4 Oktober lepas.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, ACP Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid berkata sindiket melibatkan 12 individu itu menggunakan beg khas bagi menghalang bunyi penggera di premis perniagaan.

Siasatan mendapati sindiket itu berjaya menghantar 210 kilogram bungkusan mengandungi baju ke negara asal mereka pada tahun ini menggunakan perkhidmatan kurier. 

"Hasil serbuan pemeriksaan di dua lokasi tersebut telah membawa kepada tangkapan seorang lelaki warga tempatan berumur 51 tahun, tiga lelaki bersama tujuh warganegara Asia Tenggara berumur 47 tahun.

Pemeriksaan lanjut ke atas bilik hotel yang didiami oleh suspek membawa kepada penemuan rampasan barangan seperti 167 helai pakaian pelbagai jenis, 13 pelbagai jenama, 11 pasport antarabangsa dan tiga bagasi pelbagai nama serta 23 unit tag magnetik," kata Fakhrudin kepada RTM dalam sidang media pada Khamis.

Sindiket telah bergiat aktif dalam kegiatan mencuri pakaian di 17 buah pasar raya sekitar lembah Klang sejak Mac lalu.

Semakan juga mendapati 11 warga asing itu sudah tiga kali masuk ke negara ini sebagai pelancong.

Kesemua suspek direman sehingga 22 Oktober.


(Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, ACP Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid)

Media Baharu