PAUH PUTRA, 22 November - Selain gaji premium, graduan Fakulti Kejuruteraan & Teknologi Kimia (FKTK) Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) merekodkan kadar tertinggi diambil bekerja dalam bidang dipelajari.
Fakulti berkenaan juga mencatatkan pencapaian 100 peratus Kebolehpasaran Graduan (GE) bagi semua program selama tiga tahun berturut-turut.
Naib Canselornya, Profesor Datuk Dr. Zaliman Sauli berkata, gabungan kecemerlangan akademik, pengalaman industri dan keaktifan kokurikulum menjadikan mahasiswa FKTK berdaya saing serta relevan dengan keperluan industri.
Jelasnya, fakulti berkenaan turut aktif dalam pelbagai program seperti pertandingan reka cipta kereta InnovEATion War iaitu program inovasi menghasilkan formulasi makanan baharu dibawah kursus Food Product Development.
Beliau berkata demikian semasa menyampaikan ucapan sempena Istiadat Konvokesyen 20 UniMAP di Kampus Alam, Pauh Putra Perlis.
Istiadat konvokesyen itu disempurnakan oleh Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail merangkap Tuanku Canselor UniMAP.
Pada istiadat itu, seramai 378 orang termasuk 13 penerima anugerah kecemerlangan diraikan di mana 177 adalah bagi pengajian doktor falsafah (PhD) dan Sarjana manakala 201 lagi merupakan siswazah FKTK.
Secara keseluruhannya, seramai 3,568 siswazah merangkumi pengajian PhD, Sarjana, Sarjana Muda, Diploma Kejuteraan dan Program Profesional akan diraikan pada sesi konvokesyen kali ini.
