fb fb fb fb fb

GISBH: Silibus pemulihan akidah giat dibangunkan - Dr. Na'im

Foto FB Menteri

KUALA LUMPUR, 4 Oktober- Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan satu jawatankuasa khas pemulihan akidah pengikut GISB, sedang giat membangunkan silibus bersesuaian untuk anak-anak pengikut kumpulan tersebut. 

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Mohd Na’im Mokhtar berkata silibus sedia ada akan diguna pakai bagi golongan dewasa.

Namun, akan dinilai semula serta ditambah baik dengan merujuk ajaran yang diamalkan oleh para pengikut berkenaan.

"Kita belum ada lagi silibus pemulihan akidah yang melibatkan kanak-kanak, antara yang ditahan dalam kalangan GISB. Ini yang kita lindung iaitu dalam kalangan kanak-kanak."

"Jadi, saya telah beri arahan kepada jawatankuasa ini untuk membangunkan silibus yang sesuai untuk kanak-kanak tersebut. Ini sedang kita lakukan melalui jawatankuasa ini, termasuk silibus pemulihan akidah bagi golongan dewasa. Kita akan nilai semula," kata Dr. Na'im kepada pemberita, hari ini.

Beliau ditemui selepas beramah mesra dengan 74 pemandu teksi di Putrajaya menerusi program Santuni Komuniti Madani anjuran Yayasan Waqaf Malaysia.

Setakat ini, negeri Johor, Selangor dan Perak telah bersedia untuk menubuhkan jawatankuasa khas pemulihan ini.

Dalam majlis hari ini, sumbangan berbentuk wang tunai dan kotak makanan berjumlah RM18,500 telah diberikan sebagai menghargai mereka yang telah menyumbang kepada kelancaran kemudahan pengangkutan awam terutamanya di Putrajaya.

Katanya, program berkenaan selaras dengan teras strategik kedua dalam Pelan Transformasi Al-Falah iaitu Kemampanan Ekonomi dan Kebajikan Islam.

MUHAMMAD AFIF FARHAN BIN AHMAD HISHAM