fb fb fb fb fb

GISBH: Amirudin menghadap Sultan Selangor hari ini

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari ditemui pemberita selepas merasmikan sesi dialog Belanjawan Selangor 2025 di Pusat Konvensyen Setia City (SCCC) di sini, hari ini.

SHAH ALAM, 24 September- Perkembangan isu Global Ikhwan & Services Berhad Holdings (GISBH) antara perkara yang disembah maklum Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari kepada Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah pada sesi menghadap hari ini.

Beliau berkata, urusan berkaitan agama Islam di negeri itu secara asasnya berada bawah kelolaan Sultan Selangor sepenuhnya.

Menurutnya, pertemuan itu juga rutin mingguan bersama Sultan Sharafuddin bagi membincangkan pelbagai perkara dan urusan membabitkan pentadbiran negeri.

"Tuanku sudah memanggil menghadap Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) dan polis beberapa hari lalu.

"Kita sedang mengambil langkah susulan yang agresif, hari ini insya-Allah saya akan menghadap Tuanku.

"Banyak hal akan dimaklumkan dan ini juga perjumpaan mingguan dengan baginda," katanya selepas merasmikan sesi dialog Belanjawan Selangor 2025 di Pusat Konvensyen Setia City (SCCC) di sini, hari ini.

Beliau menambah kegiatan GISBH sukar dikesan lebih awal berikutan kumpulan tersebut menukar taktik sebagai aktiviti perniagaan, menjadi antara punca isu itu didakwa agak lewat untuk didedahkan.

"Dulu mendaftar bawah Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (ROS) dan boleh dipantau. Kali ini mereka mendaftar bawah perniagaan dan aktiviti ini bukan boleh dipantau sebagaimana aktiviti pertubuhan (ROS).

"Mereka juga mengehadkan aktiviti dalam kalangan anak-beranak mereka sahaja dan ia menyukarkan kita mengetahui butiran penyelewengan dan sebagainya," katanya.

Sebelum ini media melaporkan, Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah menerusi titahnya menzahirkan dukacita apabila dikejutkan dengan berita siasatan PDRM terhadap kegiatan GISBH dan rangkaiannya sebaik baginda berangkat pulang dari luar negara.

Susulan itu, baginda menitahkan agar semua agensi agama Islam Selangor iaitu MAIS, JAIS, Jabatan Mufti Selangor dan Jabatan Pendakwaan Syariah Selangor bersama PDRM bekerjasama mengambil langkah serius menyiasat isu itu secara mendalam.

Baginda mahu semua yang terbabit secara langsung dan tidak langsung dengan kesalahan jenayah tersebut diheret ke mahkamah dan didakwa.

ZEHRA BINTI ZAMBRI