
KUALA LUMPUR, 14 November – Geran Penerbitan Filem Pendek bernilai RM50,000 menerusi Dana Pemangkin Generasi MADANI diperkenalkan bagi membuka ruang kepada bakat baharu mengembangkan potensi dalam industri perfileman tempatan.
- Kerjasama Kementerian Komunikasi dan FINAS laksanakan Program Belia Kreatif Komuniti MADANI untuk sokong bakat muda perfileman.
- FFVPM Ke-14 menjadi platform mencungkil bakat baharu dan peluang sertai dana seperti FAME serta pertandingan serantau.
- Naskhah Kola Loompor arahan Aween Aisham dari UiTM menjuarai keseluruhan dengan 10 kemenangan daripada 22 kategori.
- Pemenang 22 kategori menerima trofi dan hadiah wang tunai keseluruhan RM25,000, ASWARA raih tempat kedua dengan sembilan kemenangan.
Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS), Datuk Azmir Saifuddin Mutalib berkata, inisiatif hasil kerjasama Kementerian Komunikasi dan FINAS itu dilaksanakan menerusi Program Belia Kreatif Komuniti MADANI.
“Kementerian Komunikasi bersetuju menyalurkan geran sebanyak RM50,000 kepada pemenang utama menerusi Dana Belia MADANI yang dilaksanakan pada tahun ini.
“Geran ini merupakan suntikan dana bagi membantu pemenang menghasilkan karya video atau filem pada masa akan datang, sekali gus menggalakkan mereka menerbitkan karya yang lebih berkualiti,” katanya ketika ditemui pada Festival Filem Video Pelajar Malaysia (FFVPM) Ke-14 di Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (ASWARA), di sini.
Menurut Azmir, festival berkenaan menjadi platform mencungkil bakat baharu.
“Saya melihat pelajar yang berjaya dalam festival ini berpotensi diketengahkan untuk menyertai dana seperti FAME (First Time Amateur Filmmakers) serta skim pembiayaan lain pada masa akan datang.
“Selain itu, menerusi penglibatan dalam Festival Sea Shore yang turut membabitkan penyertaan negara-negara ASEAN, kita melihat peluang untuk membawa pelajar ini menyertai pertandingan di peringkat serantau,” katanya.
Dalam perkembangan berkaitan, filem pendek Naskhah Kola Loompor arahan Aween Aisham dari Universiti Teknologi MARA (UiTM) muncul pemenang keseluruhan FFVPM Ke-14 selepas meraih kejayaan dalam 10 daripada 22 kategori dipertandingkan.
Kejayaan itu turut melayakkan karya berkenaan menerima Anugerah Keseluruhan (Best of the Best), sekali gus membawa pulang trofi dan Geran Penerbitan Filem Pendek bernilai RM50,000.
ASWARA pula menduduki tempat kedua dengan sembilan kemenangan menerusi festival berkenaan.
Selain geran penerbitan, pemenang bagi kesemua 22 kategori turut menerima trofi dan hadiah wang tunai dengan jumlah keseluruhan RM25,000.
Majlis penyampaian anugerah disempurnakan Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi, Datuk Abdul Halim Hamzah, dengan kehadiran Pengerusi Lembaga Pengarah ASWARA, Datuk Syafinaz Selamat; Rektor ASWARA, Datuk Ainu Sham Ramli serta Pengerusi FINAS, Datuk Dr Hans Isaac.
Bertemakan Manifestasi MADANI, Mahakarya Generasi, FFVPM Ke-14 menghimpunkan lebih 177 penyertaan daripada 35 institusi pengajian tinggi dan sekolah menengah di seluruh negara.