fb fb fb fb fb

Gembox@Nilai, NEGERIfm anjur Konsert Xpresi Malaysia

SEREMBAN, 16 September- Gembox@Nilai dengan kerjasama NEGERIfm telah menganjurkan Konsert Xpresi Malaysia@ Gembox, Nilai 2023, sempena Sambutan Hari Malaysia.

Menurut Exco Pendidikan dan Modal Insan Negeri Sembilan merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Senaling Datuk Ismail Lasim, kolaborasi antara agensi kerajaan dan swasta dalam menjayakan program Hari Kebangsaan dan Sambutan Hari Malaysia amat digalakkan.

Kerjasama tersebut perlu terus diperkukuh sekali gus dapat menyemarakkan lagi semangat perpaduan dalam kalangan rakyat di negara ini.

"Saya ucapkan tahniah pertama sekali kepada sektor swasta yang mengambil bahagian dalam mempromosikan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia.

"Ini merupakan satu perkara yang baik bagi saya, bukan hanya agensi kerajaan tetapi sebagai rakyat Malaysia tidak kira sama ada swasta untuk sama-sama mengadakan program untuk sambutan Gembox menarik rakyat daripada pelbagai lapisan masyarakat," katanya kepada pemberita di sini.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Gembox, Datuk Seri Dr.Kc Lee berharap dengan penganjuran konsert sempena Sambutan Hari Malaysia 2023 ini dapat mengenang kembali hari bersejarah 16 September 1963 khususnya bagi golongan muda.

"Kita mengharapkan penduduk di Nilai dan Negeri Sembilan dapat sama-sama meraikan Hari Malaysia tahun ini sebab program seperti ini amat dekat dengan RTM," katanya.

Menurut Pengarah Jabatan Penyiaran Negeri Sembilan Suhana Suratman, "sebelum ini kita telah melaksanakan Xpresi merdeka sempena Hari Kebangsaan dan kitadapat menyaksikan sambutan yang luar biasa di Gembox ini.

"Ia disebabkan lokasi Gembox ini merupakan lokasi strategik yang terletak antara Seremban dan Lembah Klang. Tarikan seperti ini mampu menarik lebih ramai pengunjung dan menjadikan lokasi ini sebagai tumpuan," katanya.

Konsert Xpresi Malaysia turut menampilkan persembahan nyanyian daripada artis tempatan seperti Datuk Ito daripada kumpulan Blues Gang, Waris, Aeron Jeszel, Aidilia Hilda dan barisan penyampai NEGERIfm iaitu Nen Tebabo, Dj Yk dan Dj Fadzril Amrie.

Pengunjung turut dipersembahkan dengan pertunjukkan bunga api dibawakan khas oleh Gembox@Nilai sempena konsert tersebut.

(Suhana Suratman)

Media Baharu