fb fb fb fb fb

Ganti botol sebagai penanda, 40 set bubu naga dirampas Maritim Malaysia

Foto FB Maritim Malaysia

KUALA PERLIS, 15 Julai- Kegiatan haram pemasangan 40 set bubu naga di dua lokasi berasingan berjaya dihidu Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Maritim Kuala Perlis.

Individu atau kumpulan yang tidak bertanggungjawab itu menggunakan modus operandi botol-botol minuman sebagai penanda lokasi, elak daripada dikesan pihak penguat kuasa.

Pengarah Zon Maritim Kuala Perlis, Komander Maritim Mohd Hashim Mat Zain dalam kenyataannya memaklumkan bubu naga tersebut dikesan oleh bot peronda Maritim Malaysia yang sedang menjalankan Op Aman di perairan negara melalui penemuan objek berupa botol-botol minuman yang mencurigakan terapung di permukaan laut.

Pemeriksaan di lokasi pertama menemukan 20 set bubu naga telah dipasang di kedudukan 1.22 batu nautika dari barat daya pesisir pantai Ayer Hitam, Kedah pada tengah hari tadi. 

Kemudian, 20 bubu naga lagi ditemukan pada kedudukan 0.95 batu nautika dari barat daya Kuala Sanglang, Perlis.

Sebelum ini, penanda kedudukan bubu naga dipasang menggunakan pancang kayu, namun taktik berkenaan kerap dikesan oleh pihak Maritim Malaysia menyebabkan botol-botol minuman digunakan untuk mengaburi mata penguat kuasa.

Kesemua bubu naga dianggarkan bernilai hampir RM6,000 dirampas dan dibawa ke jeti Zon Maritim Kuala Perlis bagi siasatan dan tindakan lanjut.

Kes disiasat dibawah Seksyen 11(3)(c) Akta Perikanan 1985.

MUHAMMAD AFIF FARHAN BIN AHMAD HISHAM