fb fb fb fb fb

Gangguan air tidak jejas persiapan Aidilfitri

IPOH, 9 April- Insiden paip pecah dan gangguan air di Perak Tengah dan Manjung tidak akan menjejaskan persiapan penduduk setempat menjelang sambutan Aidilfitri.

Kerajaan negeri memberi jaminan bahawa segala kerja-kerja baik pulih dan persediaan telah dibuat sepenuhnya memastikan masalah terbabit tidak berulang.

Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Tenaga, Air dan Pengangkutan Awam Negeri, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin berkata, masalah air yang berlaku sebelum ini di daerah terbabit telah diselesaikan sepenuhnya pada dua hari lepas.

"Jadi untuk itu sepanjang hari raya Aidilfitri ini, insya-Allah kawasan-kawasan yang dulu terlibat dalam insiden itu insya-Allah mereka tidak akan hadapi. Kita telah membuat kerja pemulihan.

"LAP (Lembaga Air Perak) telah membuat kerja pemulihan. Insya-Allah kita akan dapat bertahan lama," kata Mohammad Nizar ditemui pemberita ketika hadir ke Program Bantuan Meriah Beraya Sejahtera Bersama Kerajaan Negeri Perak bersempena Sambutan Aidilfitri 2023 di Dewan Carsem Maju Rapat bagi kawasan DUN Sungai Rapat.

Bantuan baucer RM150 dan kotak makanan disampaikan kepada 130 orang penerima yang memerlukan.

Program itu diselaras oleh Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga, Kebajikan Masyarakat dan Pembangunan Usahawan Negeri Perak.

(Datuk Seri Mohammad Nizar berkata gangguan air tidak jejas persiapan Aidilfitri)

Media Baharu