fb fb fb fb fb

Festival Gendang dan Tari meriahkan SHWP 2022

KUALA LUMPUR, 1 Februari - Festival Gendang dan Tari antara program menarik yang mengisi jadual padat Sambutan Hari Wilayah Persekutuan (SHWP) 2022, di sini.

Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Mahadi Che Ngah berkata Kuala Lumpur menganjurkan 28 daripada 64 program keseluruhan yang dijadualkan di tiga Wilayah Persekutuan.

Festival Gendang dan Tari dijadualkan berlangsung selama dua hari di Panggung Anniversary, Taman Botani Perdana mengikut Prosedur Operasi Standard (SOP) ditetapkan.

"Festival dilangsungkan secara tertutup pada 5 Februari, namun orang awam boleh membuat tempahan secara dalam talian untuk menyaksikannya pada 6 Februari. Selain Kuala Lumpur sendiri yang menyertainya, kita juga mendapat sokongan daripada 10 Majlis Bandaraya lain yang turut sama ingin menyertai dan saya jangka ia merupakan satu program yang betul ikonik dan mempunyai kelainan yang tersendiri," katanya.

Beliau ditemui pemberita di lobi Wisma Berita, Angkasapuri selepas menjadi tetamu rancangan Selamat Pagi Malaysia.

Menyentuh konteks pengurusan pembangunan di Kuala Lumpur secara keseluruhan, Mahadi berkata sebagai ibu negara Malaysia, Kuala Lumpur merupakan pusat tumpuan pembangunan dan pertumbuhan ekonomi negara yang utama.

Sehubungan itu, pihak Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) sentiasa memberi sokongan padu kepada para pelabur untuk melaksanakan projek membina bangunan dan infrastruktur, mahupun menerajui atau mengendalikan sebarang bentuk perniagaan.

Media Baharu