fb fb fb fb fb

Festival Floria Diraja penyumbang kepada sektor pelancongan dan ekonomi negara

PUTRAJAYA, 29 Ogos- Penganjuran Festival Floria Diraja Putrajaya dilihat antara produk ekonomi yang menjadi penyumbang penting kepada sektor pelancongan negara.

Menurut Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr. Shahidan Kassim, ianya juga mampu mencetuskan pelbagai peluang perniagaan dan perkhidmatan luas meliputi bidang semaian komersial, bekalan bahan tanaman bunga dan hiasan, perundingan dan penyenggaraan, landskap serta perkebunan.


(Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr. Shahidan Kassim)

"Penganjuran floria Putrajaya setiap tahun dapat menyumbang kepada peningkatan potensi industri bunga-bungaan, landskap dan pelancongan sebagai satu daripada bidang ekonomi utama negara (NKEA) dan seterusnya memacu perkembangan industri ini sebagai satu alternatif pelaburan yang menguntungkan negara serta rakyatnya, katanya semasa berucap di majlis perasmian Festival Floria Diraja Putrajaya 2022 di sini.

Tambah beliau festival itu juga menjadi faktor penggalak pertumbuhan dan membantu dalam mempercepatkan transformasi industri bunga-bungaan, landskap dan agro-pelancongan negara.

Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah turut berkenan merasmikan festival yang memasuki edisi ke-12 itu.

Anjung Floria di Presint 4 ditransformasi menjadi hamparan bunga terbesar sepanjang tujuh hari penganjuran Floria Diraja Putrajaya 2022 bermula hari ini sehingga 4 September depan.

Media Baharu