fb fb fb fb fb

Felda, FGV sambut baik pendekatan konstruktif Terengganu

Foto hiasan

KUALA LUMPUR, 9 Disember - Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) dan FGV Holdings Bhd (FGV) menyambut baik pendekatan konstruktif Kerajaan Negeri Terengganu dalam rundingan berkaitan tanah-tanah yang diusahakan di negeri itu.

Kedua-dua syarikat itu dalam kenyataan memaklumkan, pendekatan itu disifatkan sebagai langkah positif yang membolehkan operasi ladang dimulakan semula hari ini seperti yang dipersetujui.

"Kami amat menghargai pendekatan konstruktif, keterbukaan serta kerjasama erat yang ditunjukkan Kerajaan Negeri Terengganu, termasuk keputusan melanjutkan tempoh remedi sehingga 7 Januari 2026," menurut kenyataan itu.

Hasil perbincangan itu juga membolehkan FGV kembali memulakan operasi ladang dan memastikan aktiviti harian di tanah rancangan berjalan lancar dan teratur.

Perkembangan itu memberikan kelegaan besar kepada peneroka yang selama beberapa minggu berdepan ketidakpastian mengenai pendapatan, masa depan keluarga dan kelangsungan hidup mereka.

"Sejak awal, keutamaan kami adalah memastikan kebajikan, keselamatan ekonomi serta ketenteraman emosi peneroka khususnya anak jati Terengganu terus terpelihara.

"Dengan penarikan notis terbabit, Felda dan FGV kini dapat meneruskan operasi secara normal dan kembali memberi tumpuan kepada peningkatan hasil, pengukuhan pendapatan keluarga peneroka serta pembangunan komuniti di tanah rancangan," tambah kenyataan itu.

Kedua-dua syarikat itu turut menekankan bahawa kepastian itu bukan sahaja mengembalikan keyakinan peneroka dan pekerja malah memastikan ekosistem ekonomi setempat terus stabil.

Felda dan FGV turut merakamkan penghargaan kepada Kerajaan Negeri Terengganu atas komitmen serta kesediaannya meneruskan perbincangan secara profesional, yang disifatkan sebagai usaha penting demi memastikan kesejahteraan peneroka terus dipertahankan.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI