fb fb fb fb fb

FELCRA sedia beri kerjasama penuh kepada SPRM berhubung perolehan ladang SAWIT

Pengerusi Felcra Berhad, Datuk Seri Ahmad Jazlan Yaakub ditemui pemberita selepas merasmikan Program Kampung Angkat MADANI Mukim Bukit Tiu di Pusat Transformasi Ilmu Bukit Tiu, hari ini/ BERNAMA

MACHANG, 14 Disember - Felcra Berhad bersedia untuk memberi kerjasama penuh kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sekiranya perlu berkaitan isu kelemahan tadbir urus dalam perolehan pajakan ladang sawit di Sabah dan Kelantan bernilai RM241.76 juta membabitkan syarikat itu.

Pengerusi Felcra Berhad, Datuk Seri Ahmad Jazlan Yaakub berkata setakat ini beliau belum dihubungi atau diminta untuk memberi sebarang penjelasan oleh SPRM berhubung perkara berkenaan.

Walau bagaimana pun, beliau yakin badan tersebut akan menjalankan siasatan secara berhemah mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.

“Kita akan beri kerjasama kepada SPRM jika perlu, kalau SPRM membuat siasatan di peringkat pengurusan dan melihat dari segi dokumentasinya lengkap, barangkali SPRM tidak akan pergi jauh kalau ada perkara-perkara ketidakpuasan hati berlaku, meragukan, sudah tentu semua pihak akan dipanggil…saya beri jaminan tidak ada ketirisan yang berlaku dalam urusan pembelian ladang-ladang saya maksudkan,”

Beliau berkata demikian pada sidang media di Majlis Perasmian Kampung Angkat MADANI Bukit Tiu-Machang Universiti Malaysia Kelantan di Pusat Transformasi Ilmu, Bukti Tiu, di sini hari ini.

Mengulas lanjut, beliau berkata penambahan aset dalam bentuk perolehan ladang pajakan kelapa sawit itu merupakan keputusan Lembaga Pengarah Felcra menerusi Transformasi 1.0 yang diputuskan pada 2022, bagi memastikan kelangsungan jangka panjang syarikat itu.

Beliau berkata kali terakhir Felcra membuat perolehan atau pembelian ladang adalah pada 2013.

Datuk Seri Ahmad Jazlan berkata setiap perolehan yang dibuat tidak melibatkan pinjaman daripada pihak bank atau kerajaan, sebaliknya menggunakan sumber dalaman atau perbelanjaan modal Felcra Berhad hasil keuntungan dalam bidang komersial, setelah mengambil kira kesesuaian perbelanjaan.

Beliau berkata perolehan ladang yang dibuat adalah berdasarkan harga Jabatan Penilaian dan Perkhidmatan Harta (JPPH) dan kebanyakan pembelian dilakukan di bawah harga JPPH.

SAHZAN FAZLI BIN ZAINUDDIN