fb fb fb fb fb

Faktor keselamatan dan kebersihan, punca peniaga kecil dipindahkan- Sandrea

Exco Perumahan dan Kerajaan Tempatan Perak, Sandrea Ng Shy Ching / Foto RTM

IPOH, 17 Disember- Langkah memindahkan 44 peniaga kecil jualan but kereta dari Dataran Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) ke MBI Terrace dilakukan mengambil kira aspek keselamatan dan kebersihan.

Exco Perumahan dan Kerajaan Tempatan Perak, Sandrea Ng Shy Ching berkata, aduan mengenainya telah diterima daripada penduduk sekitar, sejak awal tahun.

Berikutan itu, pelbagai siri pemantauan dan perbincangan dengan pihak peniaga telah diadakan.

Jelas beliau, kerajaan negeri dan MBI berusaha mewujudkan situasi menang-menang dengan semua pihak terlibat.

"Dalam masa terdekat ini, apabila terdapat makanan-makanan yang tular, ia memang melibatkan penjaja yang meningkat berlipat ganda dalam masa yang sangat pendek.

"Jadi memang ada kerisauan apabila kita masih benarkan untuk berniaga di situ, mereka akan lebih terus meningkat lagi sehingga satu keadaan yang memang kita susah untuk buat kawalan keselamatan, kebersihan dan sebagainya", katanya demikian pada sidang media Program Sejahtera Warga Emas: Komuniti Mesra Usia di Pusat Transformasi Bandar (UTC) Ipoh di sini hari ini.

Terdahulu Datuk Bandar Ipoh, Datuk Rumaizi Baharin memaklumkan pihaknya telah menerima 30 aduan melalui sistem MyAduan MBI berkaitan aktiviti jualan but kereta di hadapan bangunan MBI.

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD