fb fb fb fb fb

Fahmi teliti beberapa aspek tambah baik infrastruktur Sk Bangsar

Ahli Parlimen Lembah Pantai, Fahmi Fadzil ketika dalam lawatannya di Sk Bangsar pagi tadi

KUALA LUMPUR, 2 September - Beberapa aspek di Sekolah Kebangsaan (SK) Bangsar kini sedang diteliti, termasuk penambahbaikan tandas dan pembaikan retakan kecil yang mungkin telah wujud sejak 2016.

Ahli Parlimen Lembah Pantai, Fahmi Fadzil berkata usaha itu adalah sebahagian daripada inisiatif untuk meningkatkan keselamatan dan keselesaan pelajar di sekolah tersebut.

"Kemudahan tertentu seperti tandas dan penghawa dingin, serta aspek bukan struktur sekolah, juga perlu diperbaiki.

"Pemaju di kawasan sekitar dan Jabatan Kerja Raya (JKR) juga sedang meneliti kemungkinan penambahbaikan ini. Insya-Allah, kita akan mengambil beberapa tindakan susulan untuk membantu menambah baik kemudahan di SK Bangsar," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mengadakan lawatan ke sekolah tersebut, yang merupakan sebahagian daripada aktiviti ziarah selain menyantuni masyarakat di kawasan Parlimen Lembah Pantai.

Terdahulu beliau turut melawat SK Bukit Bandaraya dan Sk Bukit Pantai.

Lawatan itu juga mencerminkan komitmen berterusan pihaknya dalam memastikan fasiliti pendidikan di kawasan tersebut berada dalam keadaan terbaik.

Beliau yang juga Menteri Komunikasi berkata pada tahun lepas, beliau membantu menaik taraf perkhidmatan internet di semua 12 sekolah rendah dan menengah di Lembah Pantai.

Bagaimanapun pada tahun ini tumpuan diberikan kepada aspek fizikal sekolah dan akan meneruskan usaha tersebut.

GRACE AISYAH KEDAYAN