KUALA LUMPUR, 25 Februari- Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil menghulurkan sedikit bantuan kewangan kepada Rabiatul Adawiyah Abd Jalil, 34, seorang kakitangan kementeriannya yang menghidap penyakit barah payudara tahap empat.
Fahmi menyifatkan pemberian itu bagi meringankan beban Rabiatul Adawiyah atau Adda dan keluarga untuk menampung beberapa kos rawatan.
"Minggu lalu, ketika saya dalam satu mesyuarat yang dipengerusikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, staf saya telah memaklumkan bahawa terdapat seorang staf Kementerian Komunikasi yang terpaksa kembali ke tanah air kerana bertarung dengan kesakitan ketika menunaikan Umrah.
"Selesai mesyuarat, saya bergegas ke Hospital Serdang untuk melawat dan melihat sendiri keadaan beliau.
"Bagi yang ingin menghulurkan bantuan, jom kita bantu Adda dengan kongsikan kisah ini atau menderma melalui akaun RHB Bank - 15129000051263 - Rabiatul Adawiyah Abd Jalil," kata Fahmi menerus Facebooknya hari ini.
Difahamkan, Adda mula merasakan sakit di bahagian dada ketika dalam perjalanan ke Tanah Suci Mekah bulan lalu, namun dia meneruskan perjalanan demi menunaikan ibadah.
Sedang beribadah, tiba-tiba berlaku pendarahan tanpa henti pada bahagian payudaranya.
Disebabkan situasi itu, Adda mengambil keputusan untuk segera pulang ke Malaysia.
"Setelah pemeriksaan dijalankan, doktor mengesahkan Adda sebenarnya menghidap kanser payudara tahap empay.
"Dia tergamam, terkejut, lidah kelu tak terkata apa-apa. Hanya mampu berdoa dan bertawakkal kepada Allah SWT," kongsi Fahmi lagi.
Sehubungan itu, Adda yang masih belum berkahwin berharap semua wanita di Malaysia mengambil iktibar daripada kisahnya untuk melakukan pemeriksaan kesihatan agar dapat mengesan sebarang penyakit berbahaya lebih awal.