Fadhlina nafi program KPM di gereja, minta pihak terlibat mohon maaf

Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek / BERNAMA

SEBERANG JAYA, 13 Mac – Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek menggesa pihak yang menyebarkan kenyataan fitnah mendakwa Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) mengadakan program di sebuah gereja supaya tampil membuat permohonan maaf.

RINGKASAN BERITA AI
  • KPM menafikan dakwaan program diadakan di gereja; ia diadakan di dewan sebuah sekolah antarabangsa.
  • Program sebenarnya sesi libat urus bersama pemegang taruh sekolah dan prasekolah swasta, berlangsung dalam suasana perbincangan baik.
  • Penyebaran kenyataan jahat tular di media sosial, mencetuskan pelbagai reaksi dalam masyarakat.
  • Fadhlina tegaskan penyebaran itu tidak wajar terutama bulan Ramadan kerana berpotensi menjejaskan keharmonian.

Beliau menegaskan dakwaan berkenaan tidak benar kerana sesi libat urus tersebut sebenarnya diadakan di dewan sebuah sekolah antarabangsa.

Menurut beliau, program berkenaan merupakan sesi libat urus melibatkan pemegang taruh sekolah dan prasekolah swasta, yang berlangsung dalam suasana perbincangan yang baik serta menggunakan fasiliti sekolah.

“Program itu diadakan di sekolah antarabangsa dengan sesi libat urus bersama pemegang taruh sekolah dan prasekolah swasta. Ia berlangsung di dalam dewan dan bukannya di gereja seperti yang didakwa.

“Kita menafikan kenyataan tersebut dan meminta pihak yang membuat dakwaan berkenaan memohon maaf kerana majlis itu dihadiri ramai pemegang taruh dan dakwaan itu sama sekali tidak benar,” katanya demikian selepas merasmikan Majlis Berbuka Puasa Madani Ihya’ Ramadan KPM 2026 di sini.

Turut hadir Timbalan Menteri Pendidikan, Wong Kah Woh.

Fadhlina berkata penyebaran kenyataan bersifat jahat itu tidak wajar berlaku, lebih-lebih lagi pada bulan Ramadan kerana berpotensi menjejaskan keharmonian masyarakat.

Terdahulu, tular di media sosial dakwaan kononnya sesi libat urus yang dianjurkan KPM berlangsung di sebuah gereja, sekali gus mencetuskan pelbagai reaksi dalam kalangan masyarakat.

Fadhlina berkata penyebaran kenyataan bersifat jahat itu tidak wajar berlaku, lebih-lebih lagi pada bulan Ramadan kerana berpotensi menjejaskan keharmonian masyarakat.