EV, Solar alternatif dalam usaha peralihan tenaga

Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR, 7 April – Usaha mempercepat peralihan tenaga disifatkan langkah strategik negara dalam menangani cabaran krisis tenaga global secara lebih berkesan.

RINGKASAN BERITA AI
  • Peralihan kepada tenaga alternatif penting bagi mengurangkan kebergantungan minyak dan gas serta menangani impak kenaikan harga bahan api.
  • Perlu kembangkan penggunaan solar dan infrastruktur pengecasan EV, mencontohi kemajuan China bagi mempercepat penggunaan teknologi hijau.
  • Masyarakat perlu terima norma baharu dan menggunakan kenderaan mesra alam untuk mengurangkan pencemaran serta menyokong kelestarian.

Pegawai Penyelidik, Ts. Arsany Arsad berkata, pelbagai langkah boleh diperluas bagi menyokong agenda tersebut termasuk dalam aspek penggunaan tenaga solar serta kenderaan elektrik (EV).

“Perkembangan semasa menunjukkan China semakin maju dalam pembangunan EV termasuk dari segi infrastruktur pengecasan, sekali gus membuka ruang untuk Malaysia mempertimbangkan pendekatan sama,” katanya kepada pemberita RTM.

Sementara itu, Ketua Penolong Pengarah Institut Diplomasi dan Hubungan Luar, Intan Marzueani berpandangan, peralihan kepada tenaga alternatif adalah keperluan mendesak memandangkan sumber minyak dan gas tidak selalu terjamin.

“Minyak dan gas tidak selalu terjamin untuk jangka panjang. Oleh itu, kita perlu mencari alternatif kepada sumber tersebut termasuk menggalakkan rakyat beralih kepada EV dan hibrid sebagai salah satu langkah menangani impak kenaikan harga minyak,” ujarnya.

Presiden Pertubuhan Perdana Nasional, Abdul Hakim Hafizi pula menyeru masyarakat bersedia menerima norma baharu dalam kehidupan seiring perubahan global termasuk penggunaan teknologi hijau.

Katanya, penggunaan EV bukan sahaja relevan di Malaysia, malah menjadi amalan di beberapa negara maju sebagai sebahagian usaha memelihara alam sekitar.

“Kita perlu bersedia menerima perubahan ini dan menggunakan kenderaan yang lebih mesra alam. Ini langkah strategik yang perlu dimulakan sekarang,” jelasnya.

Dalam pada itu, Duta Pertubuhan Perdana Nasional, Kamal Amirul Azhar Kamal Amir berkata, galakan beralih kepada EV merupakan satu tindakan wajar, mengambil kira perkembangan pelaksanaannya di beberapa negara lain termasuk China.

“Di Shenzhen, penggunaan EV sudah meluas termasuk dalam sistem pengangkutan awam seperti bas. Peralihan kepada teknologi hijau ini amat baik kerana ia membantu mengurangkan pencemaran serta menyokong kelestarian alam sekitar,” katanya.