fb fb fb fb fb

EU luluskan geran bernilai RM9.5 juta, teroka potensi pusat maritim terkemuka

Geran berkenaan akan digunakan untuk menjalankan kajian terhadap daya tarikan Malaysia dalam sektor pelabuhan dan maritim

IPOH, 11 Disember - Kesatuan Eropah (EU) meluluskan geran berjumlah RM9.5 juta kepada Port of Antwerp-Bruges International (PoABI) dan Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNPk) bagi meneroka potensi Perak sebagai pusat maritim terkemuka.

Geran berkenaan akan digunakan untuk menjalankan kajian terhadap daya tarikan Malaysia dalam sektor pelabuhan dan maritim.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata ia merupakan pencapaian penting sebagai destinasi pelaburan utama negara.

"Kekayaan sumber semula jadi Perak serta ketersediaan infrastruktur ditambah dengan pembangunan Bandar Perindustrian Maritim Lumut (LuMIC) selain hubungan yang terjalin dengan PoABI telah menjadikan negeri ini tarikan kepada EU untuk membuat kajian secara komprehensif," katanya.

Beliau bercakap kepada pemberita selepas menyaksikan Majlis Pengumuman Geran EU oleh PoABI dan PKNPk di Ipoh.

Hadir sama Duta Besar EU di Malaysia, Michalis Rokas, Duta Besar Belgium ke Malaysia, Peter Van Acker, Pengarah Urusan PoABI, Kristof Waterschoot dan Ketua Eksekutif PKNPk, Datuk Redza Rafiq Abdul Razak.

Tambah Saarani, kajian itu merangkumi sembilan penilaian melibatkan empat penilaian yang memberi tumpuan kepada Malaysia untuk menarik potensi EU atau pelabur asing lain.

Manakala, lima lagi penilaian memberi tumpuan dalam menyediakan hala tuju Lumut sebagai pintu masuk ke Malaysia.

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN