
KUALA LUMPUR, 11 Jun – Kebijaksanaan digital, literasi media, keselamatan dalam talian serta komunikasi beretika semakin penting pada masa kini.
- Tema KLIP ke-8 'Melahirkan Warga Digital, Bukan Mangsa Digital' menekankan kesiapsiagaan masyarakat menghadapi perkembangan AI dan media sosial.
- KLIP berperanan menggalakkan dialog, kerjasama dan pembangunan profesional dalam industri perhubungan awam.
- Pengamal komunikasi perlu menjadi penghubung masyarakat, menjelaskan isu dan memperkasa rakyat untuk masyarakat digital yang lebih selamat dan berdaya tahan.
Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching berkata, ini susulan perkembangan pesat teknologi termasuk kecerdasan buatan (AI) dan media sosial.
Menurut beliau, perkara itu antara fokus yang diketengahkan menerusi tema “Melahirkan Warga Digital, Bukan Mangsa Digital” pada Persidangan Antarabangsa Perhubungan Awam Kuala Lumpur (KLIP) ke-8.
“Saya berbesar hati merasmikan KLIP ke-8. Setinggi-tinggi penghargaan kepada Institut Perhubungan Awam Malaysia (IPRM), rakan-rakan strategik serta semua pihak yang menjayakannya,” katanya menerusi hantaran di Facebook.
Jelasnya, KLIP berperanan penting dalam menggalakkan dialog, kerjasama dan pembangunan profesional dalam industri komunikasi.
Beliau turut menegaskan pengamal komunikasi bukan sekadar berperanan menyampaikan maklumat, malah menjadi penghubung masyarakat, menjelaskan isu serta memperkasa rakyat.
“Usaha bersama semua pihak mampu membantu membina masyarakat digital yang lebih selamat, berpengetahuan dan berdaya tahan,” katanya.