JITRA, 16 Oktober- Empat unit rumah kedai dua tingkat di Jalan Kampung Naga, Pekan Kepala Batas, musnah dalam kebakaran kira-kira pukul 5.00 pagi tadi.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Jitra, Penolong Kanan Penguasa Bomba Mohd Bustan Karudin dalam satu kenyataan berkata, Pusat Gerakan Operasi (PGO) Kedah menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu melalui talian Mers 999 pada pukul 5.10 pagi.
Beberapa buah jentera dari BBP Jitra, EMRS, dan BBP Alor Setar diarah ke lokasi kebakaran.
"Setibanya di lokasi, kebakaran melibatkan rumah kedai 2 tingkat yang dijadikan stor penyimpanan barang 'hardware', bangunan jenis tidak kekal berkeluasan 25 X 100 kaki persegi setiap unit, melibatkan empat unit kedai," katanya.
Operasi pemadaman menggunakan satu aliran dua pancutan di bahagian belakang kedai dan satu aliran dua pancutan di bahagian hadapan kedai dan api dapat dibendung pada pukul 5.36 pagi.
Kebakaran berkenaan telah memusnahkan 90 peratus struktur premis.
Bagaimanapun tiada kemalangan jiwa dilaporkan serta punca dan jumlah kerugian masih dalam siasatan.
Operasi tamat sepenuhnya pada pukul 7.29 pagi.