
PUTRAJAYA, 9 Februari – Empat teras utama ditetapkan bagi pelaksanaan Pelan Strategik Jabatan Perangkaan (PSJ DOSM) 2026-2030.
- Perkhidmatan statistik inovatif sebagai teras utama untuk meningkatkan kualiti dan relevansi data.
- Transformasi digital bagi mempercepat pemprosesan data dan memodenkan sistem perangkaan.
- Pembangunan kapasiti modal insan untuk menyokong pelaksanaan strategi dan penggunaan data.
- Pemerkasaan sistem statistik negara untuk menyokong keputusan dasar dan perancangan pembangunan.
Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata, empat teras itu adalah perkhidmatan statistik inovatif, transformasi digital, pembangunan kapasiti modal insan dan pemerkasaan sistem statistik negara.
Jelasnya, selain memastikan kesinambungan PSJ 2021-2025, dokumen lima tahun itu juga menjadi platform penyelarasan awal bagi memastikan pelaksanaan yang bersepadu dan selari di semua peringkat.
”Majlis hari ini bukan sekadar pelancaran sebuah dokumen rancangan, tetapi menandakan permulaan fasa pelaksanaan kepada satu komitmen strategik yang akan memandu hala tuju DOSM untuk tempoh 5 tahun akan datang.
”Pelan Strategik DOSM 2026-2030 adalah manifestasi kesungguhan jabatan untuk menterjemahkan perancangan kepada tindakan yang berimpak, berfokus dan berorientasikan hasil,” jelasnya pada Majlis Pelancaran PSJ DOSM 2026- 2030, di sini hari ini.
Di bawah PSJ DOSM yang baharu, visi “Peneraju Perkhidmatan Statistik demi Kesejahteraan Sejagat” dan moto “Statistik Nadi Kehidupan” dikekalkan sebagai kesinambungan aspirasi jangka panjang jabatan itu.
Sebaliknya, DOSM memperbaharui misinya, iaitu menghasilkan statistik berkualiti, bertepatan masa dan boleh dipercayai untuk menyokong keputusan berasaskan data, iaitu misi berkenaan menegaskan
”Misi baharu ini selari dengan peralihan peranan DOSM daripada sekadar pengeluar statistik kepada penyokong utama keputusan dasar, perancangan dan pelaksanaan pembangunan negara,” katanya.