fb fb fb fb fb

Empat rumah, tiga kenderaan musnah terbakar

(Dua buah kereta musnah dalam kebakaran di Taman Indah Jabi)

POKOK SENA, 11 Disember- Sederet empat buah rumah, dua buah kereta dan sebuah motosikal di Taman Indah Jabi, di sini musnah dalam kebakaran pada pukul 12.54 tengah malam tadi.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pokok Sena, Pegawai Bomba Tinggi Azrul Musa dalam kenyataan berkata, dua buah jentera bomba masing-masing dari BBP Pokok Sena dan BBP Alor Setar bergegas ke lokasi kejadian sebaik menerima panggilan kecemasan.

"Peratusan awal kebakaran mendapati dua rumah musnah 80 peratus, manakala dua rumah lagi masing-masing terbakar 30 dan 10 peratus. Dua kereta serta satu motosikal turut musnah dalam kejadian itu.

"Lapan buah jentera bersama 36 anggota Pasukan Bomba Sukarela (PBS) antaranya dari PBS Kota Sarang Semut, PBS Seberang Nyonya dan PBS Pendang turut membantu operasi," katanya dalam kenyataan.

Azrul menambah, tindakan pantas bomba berjaya memadamkan kebakaran dari merebak ke kediaman yang lain.

Beliau juga mengesahkan tiada sebarang kemalangan jiwa berlaku dan punca kejadian masih dalam siasatan.

"Api berjaya dikawal pada pukul 1.20 pagi dan dipadam sepenuhnya sebelum operasi tamat pada pukul 3.20 pagi tadi," katanya.

(Sederat empat rumah terbakar di Taman Indah Jabi)

Media Baharu