
KUALA LUMPUR, 14 Mac – Ribut petir, hujan lebat dan angin kencang dijangka melanda beberapa kawasan di Perak, Pahang, Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Putrajaya serta Johor sehingga 10 malam ini.
- MetMalaysia mengeluarkan amaran ribut petir melalui kenyataan rasmi.
- Kawasan terlibat termasuk Muallim, Raub, Bentong, Tangkak dan Muar.
- Amaran dikeluarkan apabila hujan melebihi 20 milimeter sejam atau dijangka berterusan lebih satu jam.
- Amaran ribut petir adalah jangka pendek dan sah tidak melebihi enam jam bagi setiap keluaran.
Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) dalam satu kenyataan memaklumkan antara kawasan terlibat ialah Muallim di Perak; Raub dan Bentong di Pahang; seluruh Selangor; Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya.
Amaran sama turut melibatkan kawasan Tangkak dan Muar di Johor.
“Amaran ribut petir dikeluarkan apabila terdapat tanda-tanda menunjukkan kejadian ribut petir dengan intensiti hujan melebihi 20 milimeter sejam yang hampir berlaku atau dijangka berterusan melebihi satu jam,” menurut kenyataan itu pada Sabtu.
Tambah MET, amaran ribut petir adalah amaran jangka pendek yang sah dalam tempoh tidak melebihi enam jam bagi satu-satu keluaran.