fb fb fb fb fb

Empat loji rawatan air di Sibu dan Kapit terjejas akibat banjir

FOTO FACEBOOK JBALB Sarawak

SARAWAK, 21 Mac- Sebanyak empat loji rawatan air di masing-masing dua di Sibu dan Kapit tidak dapat beroperasi seperti biasa akibat banjir dan paras air sungai yang kritikal ketika ini.

Pengarah Jabatan Bekalan Air Luar Bandar (JBALB) Sarawak, Insinyur Awang Mohammad Fadillah Awang Redzuan berkata loji yang terjejas di Kapit ialah Loji Rawatan Air Song dan Loji Rawatan Air Beguang, manakala di Sibu adalah Loji Rawatan Air Nanga Dap dan Kanowit Acute Plant.

"Manakala, loji rawatan air di seluruh Sarawak adalah beroperasi seperti biasa," katanya dalam kenyataan di media sosial rasmi JBALB hari ini.

Beliau turut memaklumkan pasukan JBALB di setiap bahagian akan terus membuat pemantauan rapi bagi memastikan bekalan air dapat dipulihkan secepat mungkin.

Penduduk terjejas boleh menghubungi Pusat Panggilan JBALB Sarawak di talian 082-262211 bagi sebarang aduan dan pertanyaan berhubung gangguan bekalan air.

"JBALB Sarawak ingin menyatakan komitmen kami untuk terus memberi perkhidmatan terbaik kepada rakyat Sarawak," katanya.

Setakat pukul 8.00 malam ini, Sarawak mencatatkan seramai 329 orang daripada 93 keluarga terjejas banjir melibatkan pembukaan lima pusat pemindahan sementara (PPS).

Menurut portal Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), daerah Kapit merekodkan 222 orang daripada 58 keluarga yang berlindung di tiga PPS, manakala daerah Sibu membabitkan 107 orang daripada 35 keluarga di dua PPS.

SITI AISHAH MD ISA