KUALA LUMPUR, 9 April- Tindakan menyisih serta memusuhi mana-mana kelompok kaum, agama dan kepercayaan perlu dielakkan atas apa juga alasan sekalipun.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata kekuatan semua pihak, semua wilayah dan semua kaum diperlukan bagi melonjakkan prestasi negara ke tahap yang terbaik serta bermaruah.
"Kerangka pembinaan bangsa ini tidak diberikan alasan untuk meremehkan kepentingan Islam sebagai agama persekutuan, meningkatkan pelaksanaan syariah di negara kita.
"Malah kita harus tegas, pasti dan tidak kelihatan bertolak ansur dalam kesungguhan kita memupuk nilai dan membina negara yang bermaruah.
"Namun, jangan kita anggap ini sebagai suatu sijil, peluang untuk meremehkan, menghina atau merosakkan kaedah budaya dan cara hidup orang lain.
"Inilah perimbangan, keseimbangan yang perlu dipertahankan dalam semangat kita di Malaysia merayakan Hari Raya Aidilfitri mubarak ini", katanya semasa menyampaikan Perutusan Khas Aidilfitri yang disiarkan di semua stesen televisyen dan radio, hari ini.
Jelasnya, Aidilfitri merupakan peluang bagi rakyat Malaysia untuk saling bermaafan sekiranya berlaku sebarang keterlanjuran kata, kesilapan bahasa atau pun perkara yang menyentuh perasaan rakan-rakan serta saudara-mara.
Perdana Menteri juga mendoakan agar negara terus kuat dan makmur menerusi perpaduan yang kukuh, pertumbuhan yang mampan, ihsan kepada yang memerlukan serta pemerkasaan rakyat.