fb fb fb fb fb

Elak ditipu: Masyarakat dinasihat waspada tawaran haji guna visa Mujamalah

Pengarah Operasi Pengelola Jemaah Haji (PJH), Anuar Ahmad meminta masyarakat hanya merujuk kepada 37 syarikat yang telah dilesenkan oleh Tabung Haji

MEKAH, 26 Mei - Orang ramai diingatkan agar tidak terpedaya dengan pelbagai iklan yang menawarkan pakej haji menggunakan visa Mujamalah, khususnya yang tersebar di media sosial.

Pengarah Operasi Pengelola Jemaah Haji (PJH), Anuar Ahmad berkata, tawaran ini berisiko menyebabkan mangsa mengalami kerugian wang akibat penipuan oleh pihak tidak bertanggungjawab.

“Sesiapa yang sudah memiliki visa untuk menunaikan haji perlu memilih salah satu daripada 37 syarikat yang telah dilesenkan oleh Tabung Haji.

"Jika terdapat tawaran daripada syarikat selain daripada senarai ini, orang ramai dinasihatkan agar tidak menerimanya kerana kita tidak mengetahui keupayaan syarikat tersebut, lokasi penginapan, jenis perkhidmatan yang ditawarkan, dan paling penting, mereka tidak berada di bawah kawal selia Tabung Haji,” tegasnya.

Mujamalah adalah visa dikeluarkan Kerajaan Arab Saudi yang hanya diberikan kepada individu atau kumpulan tertentu. 

Tahun ini 28.3% daripada keseluruhan jemaah haji Malaysia memilih untuk menunaikan rukun Islam ke-5 itu menerusi 37 PJH yang dilantik Lembaga Tabung Haji (TH). 

TH berharap orang ramai sentiasa mengambil langkah berhati-hati dan tidak mahu kes yang sama berlaku seperti tahun-tahun sebelum ini di mana ada jemaah haji terkandas akibat ditipu oleh syarikat tidak berlesen yang menawarkan perkhidmatan pakej haji.

TUAN MOHAMAD IKRAM BIN TUAN MUHAMAD