fb fb fb fb fb

Eksport agromakanan Halal Malaysia ke Filipina

Majlis Perlepasan Produk Agromakanan Ke Pasaran Filipina di Ibu Pejabat FAMA / Foto RTM

BATU CAVES, 4 Disember - Malaysia memperkukuh kedudukannya sebagai pengeksport utama produk agromakanan Halal di ASEAN melalui penghantaran 20 kontena produk ke Filipina bernilai lebih RM4 juta dalam usaha memperluas pasaran serantau.

Menurut Pengerusi Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA), Aminuddin Zulkipli, majlis itu menandakan komitmen kedua-dua negara memperluas perdagangan makanan Halal serta memperkukuh kehadiran produk Malaysia di pasaran strategik Manila dan Marawi.

“Malaysia dijangka menjadi pengeluar keempat selepas China, India, dan Indonesia dalam pasaran Filipina, berikutan permintaan tinggi terhadap produk halal.

"Peluang ini memberi ruang luas kepada usahawan makanan tempatan untuk mengembangkan pasaran mereka di Filipina,” katanya ketika ditemui pada Majlis Perlepasan Produk Agromakanan Ke Pasaran Filipina di Ibu Pejabat FAMA, di sini, hari ini.

Program itu melibatkan penghantaran 20 kontena secara berfasa sehingga hujung 2026, merangkumi lapan unit penyimpanan stok (SKU) produk Agromas seperti White Coffee, Hazelnut Coffee, Habbatussauda Coffee, Mee Kari Putih, Mee Goreng Udang, Maggi Curry, Margarine dan ayam segar dengan nilai eksport keseluruhan lebih RM4 juta.

Bagi penghantaran pertama, dua kontena melibatkan lima SKU dengan nilai eksport RM338,408 dihantar ke Manila melalui kerjasama antara FAMA Corporation Sdn. Bhd. dengan syarikat pengimport dari Filipina, Golden Merchantile Intl. Trading Corp.

Filipina muncul sebagai pasaran Halal pesat berkembang, dengan nilai sektor makanan Halal dijangka meningkat kepada USD116.9 bilion menjelang 2033, dipacu permintaan pengguna terhadap pensijilan Halal dan produk berkualiti.

Majlis menyaksikan pemeteraian memorandum persefahaman (MoU) antara FAMA Corporation dengan lima syarikat tempatan, meliputi pembangunan rantaian bekalan, pengedaran barangan pengguna, pembekalan minyak masak, sektor ruminan serta penggunaan teknologi logistik pintar, bagi memperkukuh ekosistem eksport negara.

Turut Hadir delegasi rasmi dari Filipina dan wakil Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan Malaysia (KPKM), termasuk Ketua Pengarah FAMA serta Ketua Pegawai Eksekutif FAMA Corporation Sdn. Bhd.

Program pelepasan itu membuka akses pasaran baharu kepada pengeluar tempatan, mengurangkan risiko bergantung pasaran domestik, dan membolehkan mereka menyertai rantaian nilai eksport bernilai tinggi, sekali gus mengukuhkan Malaysia sebagai peneraju utama perdagangan makanan Halal serantau.

MARDHIYAH MOHAMMED ZIN