fb fb fb fb fb

Ekspo Dubai 2020: Keunikan budaya dan makanan Malaysia tarik 750,000 pengunjung di Dubai

DUBAI, 1 Mac- Pavilion Malaysia di Ekspo 2020 Dubai berjaya meraih lebih 750,000 pengunjung setakat ini yang bermula sejak 1 Oktober tahun lalu.

Pengarahnya, Michelle Lau Sook Yee berkata program yang dianjurkan termasuk persembahan kebudayaan dan keunikan makanan menjadi tarikan utama pengunjung serata dunia ke lokasi tersebut.

Jelasnya, Minggu Pertanian Lestari yang dihoskan Kementerian Pertanian dan Industri Makanan Malaysia (MAFI) minggu lalu sahaja telah menarik 44,765 pengunjung.

"Pada masa sekarang, kami boleh katakan program yang kami laksanakan semasa 21 minggu yang sudah ini sangat penting untuk menjayakan pengunjung yang datang dan menjayakan pelbagai program perniagaan."

"Kita dapat mengetahui lebih berkenaan negara Malaysia, daripada sektor pelancongan, perdagangan selain sektor sosial. Itu faktor yang menjayakan Pavilion Malaysia di Ekspo Dubai tahun ini," kata Michelle kepada media RTM.


(Pengarah Pavilion Malaysia, Michelle Lau Sook Yee bersama media berkongsi kejayaan negara di Ekspo Dubai 2020)

Pavilion Malaysia turut mengambil pendekatan mengadakan kerjasama dengan negara lain untuk mempamerkan keunikan budaya tempatan.

Sementara itu, petugas Pavilion Ireland dan Uruguay, Graham Dowling serta Mauro Padula turut menzahirkan keterujaan terhadap penyertaan Malaysia di ekspo berkenaan.

"Pavilion Malaysia di Ekspo 2020 Dubai adalah satu fenomena. Dari pintu masuk anda dapat lihat dan alami sendiri hutan hujan dan ekosistemnya. Anda juga dapat saksikan inovasi Petronas dan di penghujungnya anda disajikan dengan persembahan tradisional Malaysia. Malaysia, Truly Asia," kata Graham kepada RTM.

Pavilion Malaysia cukup mengagumkan. Apa yang membezakan anda dapat lihat seni bina yang hebat. Persembahan hutan hujan membuatkan anda benar-benar terasa seperti dalam hutan. Persembahan kebudayaan juga cukup mengagumkan." kata Padula kepada RTM.

Media Baharu