fb fb fb fb fb

e-Negarawan: Lawatan secara maya untuk dalami sejarah negara

(Menteri Perpaduan Negara, Datuk Aaron Ago Dagang)

ALOR SETAR, 7 Julai- Hanya dengan klik menggunakan hujung jari, rakyat Malaysia kini boleh mendalami sejarah negara menerusi Eksplorasi Negarawan atau e-Negarawan tanpa perlu pergi ke Arkib Memorial.

Menteri Perpaduan Negara, Datuk Aaron Ago Dagang berkata e-Negarawan itu adalah satu produk yang dibangunkan oleh Arkib Negara Malaysia dalam menyebar luas maklumat dan pemahaman mengenai tokoh-tokoh negarawan di Malaysia.

“Sebanyak 10 Arkib Memorial terlibat dalam projek ini dan kesemuanya menyimpan bahan-bahan arkib yang berkaitan dengan tokoh-tokoh negarawan daripada pelbagai kaum dan agama. e-Negarawan ini akan menjadi medan membina jati diri dan semangat patriotisme yang sangat sesuai untuk generasi muda," katanya.

Walaupun begitu, bukan bermaksud kita tidak menggalakkan orang ramai melawat secara fizikal, sebaliknya memberikan peluang dan kesempatan kepada semua masyarakat untuk menikmati lawatan secara interaktif dan berinformasi,” katanya.

Aaron berkata demikian menerusi ucapannya pada pelancaran Galeri Maya e-Negarawan di Arkib Negara Negeri Kedah/Perlis di Alor Setar malam tadi.


(Datuk Aaron pada majlis pelancaran Galeri Maya e-Negarawan di Arkib Negara Negeri
Kedah/Perlis di Alor Setar malam tadi/ FB Aaron Ago Anak Dagang)

Jelasnya, menerusi pelancaran e-Negarawan ini menunjukkan betapa pentingnya untuk memelihara rekod dan bahan bersejarah negara.

Ia sekali gus memberi manfaat kepada masyarakat khususnya generasi muda supaya lebih mengenali sejarah dan budaya bangsa.

“Pengunjung tempatan dan antarabangsa boleh menyusuri galeri maya ini secara percuma melalui #klikdijari, imbasan kod respon pantas (QR Code), media sosial rasmi Arkib Negara Malaysia atau laman sesawang di www.arkib.gov.my,” katanya.

Ketika ini beberapa pengguna dari Indonesia, Singapura, China dan Amerika Syarikat telah mengakses galeri maya ini, namun jumlahnya masih kecil.

Kementerian Perpaduan Negara akan terus menyokong usaha jabatan dan agensi seperti Arkib Negara Malaysia bagi memastikan matlamat dalam membentuk perpaduan dan meningkatkan rasa cinta terhadap negara terus konsisten.

Media Baharu