
BUTTERWORTH, 4 April – Sistem pendaftaran E-Jenazah diperkenalkan sebagai langkah strategik bagi memudah cara urusan penghantaran jenazah warga Sabah yang meninggal dunia di Semenanjung Malaysia untuk dibawa pulang ke negeri asal.
- Inisiatif E-Jenazah dilaksanakan susulan pelbagai kesukaran dalam pengurusan penghantaran jenazah warga Sabah.
- Pada 2025 sebanyak 139 kes penghantaran berjaya diuruskan dengan kos hampir RM500,000.
- Setakat Mac 2026, 15 kes telah diuruskan dan sistem dijangka mempermudah serta mempercepat proses penghantaran.
Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Datuk Lo Su Fui berkata, inisiatif itu diperkenalkan susulan pelbagai kesukaran yang dihadapi sebelum ini dalam proses pengurusan penghantaran jenazah ke Sabah.
Menurut beliau, sepanjang tahun lalu sebanyak 139 kes penghantaran jenazah berjaya diuruskan dengan kos keseluruhan hampir RM500,000.
“Pada 2025 terdapat 139 kes yang berjaya kita uruskan melibatkan penghantaran jenazah ke Sabah dengan kos hampir setengah juta ringgit.
“Setakat Mac 2026 pula, sebanyak 15 kes telah diuruskan dan kita yakin dengan pembangunan sistem E-Jenazah ini mampu membantu serta mempermudahkan lagi proses penghantaran ke Sabah,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada RTM selepas Majlis Pelancaran E-Jenazah dan Sambutan Aidilfitri bersama warga Sabah Zon Utara anjuran Pejabat Perhubungan Negeri Sabah Kuala Lumpur, di sini.
Sebelum ini, pelbagai masalah timbul dalam pengurusan penghantaran jenazah ke Sabah, justeru pelaksanaan sistem E-Jenazah dilihat mampu menyelaras serta mempercepatkan proses berkenaan dengan lebih efisien.