fb fb fb fb fb

Durian segar Malaysia kini boleh dieksport ke China

Datuk Seri Anwar dan Li Qiang menikmati durian / FOTO FB Anwar Ibrahim

KUALA LUMPUR, 19 Jun- Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) memeterai Protokol Keperluan Fitosanitari Pengeksportan Buah Durian Segar dari Malaysia ke Republik Rakyat China.

Dokumen protokol berkenaan diserah terima antara kedua-dua menteri dan Duta Besar Republik Rakyat China ke Malaysia semasa Majlis Pertukaran Memorandum Persefahaman Persetujuan Antara Perdana Menteri Malaysia dan Premier Republik Rakyat China yang diadakan di Putra Perdana, Putrajaya hari ini.

Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, sebelum ini Malaysia diberikan akses pasaran eksport ke China bagi durian dalam bentuk ulas dan pes pada 2011 manakala buah durian sejuk beku dalam bentuk biji pada 2018.

"Tambahan akses durian segar ini akan mengembangkan industri tanaman durian tempatan dan meningkatkan nilai eksport agromakanan ke luar negara.

"KPKM yakin pelaksanaan protokol ini akan menggalakkan perkembangan industri tanaman buah durian tempatan dan membuka peluang kepada lebih 63,000 pengusaha durian di seluruh negara," katanya dalam satu kenyataan.

Untuk rekod, dalam tempoh lima tahun dari 2018 hingga 2022, jumlah nilai eksport durian ke luar negara telah berkembang sebanyak 256.3 peratus atau peningkatan sebanyak RM822.8 juta.

Pada tahun 2022, eksport durian Malaysia ke seluruh dunia mencatat nilai sebanyak RM1.14 bilion.

Secara keseluruhan, durian merupakan penyumbang utama 58.6 peratus kepada nilai eksport buah-buahan negara pada tahun 2022 daripada keseluruhan nilai eksport buah-buahan yang bernilai RM2.01 bilion.

Negara China merupakan pasaran eksport utama buah durian dari Malaysia dengan nilai eksport sebanyak RM887 juta pada tahun 2022.

Nilai eksport durian diunjur akan terus meningkat kepada RM1.8 bilion pada tahun 2030.

Pemain industri yang berminat untuk berdaftar sebagai pengeksport buah durian segar ke China boleh menghubungi Jabatan Pertanian (DOA) dengan mengemukakan e-mel kepada Alamat emel ini dilindungi dari Spambot. Anda perlu hidupkan JavaScript untuk melihatnya. dan Alamat emel ini dilindungi dari Spambot. Anda perlu hidupkan JavaScript untuk melihatnya..

1906 DURIAN EKSPORTFOTO FB Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE