
BINTULU, 2 Februari – Dua individu rentung dalam kebakaran yang memusnahkan sebuah blok rumah pekerja di Jalan Sungai Nyigu di sini awal pagi tadi.
- Kebakaran memusnahkan blok rumah pekerja dua tingkat jenis struktur tidak kekal sepenuhnya.
- Operasi bomba menggunakan 16 anggota dan empat jentera, mendapat sumber air dari sungai berdekatan.
- Dua mangsa rentung ditemui; seorang wanita 61 tahun dan remaja lelaki 15 tahun.
- Mayat diserahkan kepada PDRM dan punca serta jumlah kerugian masih disiasat.
Dalam kejadian kira-kira pukul 1.00 pagi itu, kebakaran melibatkan sebuah blok rumah pekerja dua tingkat jenis struktur tidak kekal yang terbakar sepenuhnya.
Menurut Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak, pihaknya bergegas ke lokasi kejadian sebaik menerima panggilan kecemasan sebelum menjalankan operasi pemadaman serta pencarian mangsa.
“Kebakaran berkenaan memusnahkan keseluruhan bangunan yang mempunyai 31 pintu, selain turut melibatkan empat buah motosikal.
“Pasukan bomba kemudiannya menemukan dua mangsa dalam keadaan tidak bernyawa di lokasi kejadian.
“Mangsa dikenal pasti masing-masing seorang wanita berusia 61 tahun dan seorang remaja lelaki berusia 15 tahun,” menurut kenyatan itu.
Operasi pemadaman melibatkan 16 anggota bomba dengan kekuatan empat jentera, menggunakan sumber air dari sungai berhampiran.
Mayat kedua-dua mangsa telah diserahkan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk tindakan dan siasatan lanjut.
Punca kebakaran serta jumlah kerugian masih dalam siasatan.