(Keadaan motosikal dinaiki oleh dua remaja perempuan yang terbabit dalam kemalangan maut di KM 121 Jalan Ipoh-Kuala Lumpur
arah utara berhampiran Kampung Kelawar, Tanjung Malim, malam tadi)
TANJUNG MALIM, 30 Mac- Dua remaja perempuan maut selepas motorsikal dinaiki terlanggar sebuah lori di Kilometer (KM) 121 Jalan Ipoh Kuala Lumpur arah utara berhampiran Kampung Kelawar, di sini, malam tadi.
Ketika kejadian kedua-dua mangsa berusia 19 tahun dalam perjalanan dari Ulu Bernam ke Slim River.
Ketua Polis Daerah Muallim, Superintendan Mohd Hasni Mohd Nasir berkata, nahas berlaku apabila lori tanker berkenaan dipercayai membuat pusingan U di laluan tersebut sebelum dirempuh motosikal mangsa.
Akibat pelanggaran itu, penunggang maut di tempat kejadian akibat digilis, manakala pembonceng meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Slim River.
Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Siasatan lanjut diteruskan bagi mengesan lori yang terlibat.
(Dua remaja perempuan maut rempuh lori buat pusingan-U di KM 121
Jalan Ipoh-Kuala Lumpur arah utara)