KUALA LUMPUR, 17 Januari- Dua rakyat Malaysia mengaku bersalah atas pertuduhan, bersubahat dalam insiden pengeboman Bali pada tahun 2002.
Menurut sumber The New York Times, hukuman akan dijatuhkan pada minggu hadapan.
Mohammed Farik Amin, 48 tahun dan Mohammed Nazir Lep, 47 tahun telah ditahan selama bertahun-tahun dalam rangkaian penjara luar negara dibawah Agensi Perisikan Pusat Amerika Syarikat (CIA).
Pada tahun 2006, mereka dipindahkan ke Teluk Guantanamo untuk menghadapi perbicaraan di mahkamah khas keselamatan negara.
Turut didakwa, Encep Nurjaman yang juga dikenali sebagai Hambali dari Indonesia.
Dalam pengakuan, kedua-dua tertuduh bersetuju untuk memberi keterangan terhadap Hambali, bekas pemimpin gerakan Jemaah Islamiyah.
Hambali kini menghadapi pertuduhan membunuh, melakukan keganasan dan konspirasi dalam insiden pada tahun 2002 dan 2003.
Jika sabit kesalahan, dia boleh dikenakan hukuman penjara seumur hidup.
Pada tahun 2018, Mohammed Farik dan Mohammed Nazir didakwa dengan sembilan kesalahan.
Kesalahan itu membabitkan pengeboman kelab malam di Bali pada 2002 yang mengorbankan 202 orang, selain pengeboman sebuah hotel yang meragut 11 nyawa pada tahun 2003.