fb fb fb fb fb

Dua PPS dibuka untuk penduduk Kampung Perancangan Cocos

FOTO HIASAN

PAITAN, 14 Januari - Seramai 42 penduduk di Kampung Perancangan Cocos dipindahkan ke dua pusat pemindahan sementara (PPS) susulan bencana banjir.

Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Sabah dalam satu kenyataan berkata, PPS itu dibuka pada 4.00 petang yang melibatkan Rumah Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Kampung Cocos serta Sekolah Menengah Kebangsaan Pamol.

Kampung terbabit dilanda banjir pada bulan lepas dengan dua PPS berkenaan dibuka selama tiga hari dari 26 Disember lalu.

Sementara itu, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Telupid dan Beluran sedang memantau kawasan berisiko banjir di dua daerah itu berikutan hujan berterusan masing-masing sejak tengah hari semalam dan awal pagi tadi.

Meskipun terdapat kawasan yang telah dinaiki air, belum ada PPS dibuka setakat ini.

Bagaimanapun, terdapat 43 mangsa di Telupid berpindah ke Dewan Sekolah Kebangsaan Ulu Sapi, yang dijadikan pusat transit sebagai langkah berjaga-jaga.

TETITIA YUSOFF